Barangsiapa bersabar kerana taat, maka pada hari kiamat ALLAH akan memberinya 300 darjat di Syurga. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit dan bumi. Dan barangsiapa sabar meninggalkan larangan ALLAH, maka pada hari kiamat ALLAH akan memberinya 600 darjat. Tiap darjat antara langit ke-7 dan bumi ke-7. Adapun orang yang sabar atas bencana dan musibah, maka pada hari kiamat ALLAH akan memberinya 700 darjat di Syurga. Tiap-tiap darjat antara Arasy dan Tsura.
Dirawikan kepada Nabi SAW, sesungguhnya beliau bersabda: ALLAH telah berkata,
“Barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia mohon perlindungan daripada-Ku, pasti Aku memberinya sebelum dia meminta. Dan barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pasti Ku tutup semua pintu baginya.”
Junaid al-Baghdadi R.A. telah berkata:
“Bala merupakan pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang yang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah (lupa). Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum ditimpa bala, rela dan bersabar.”
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Barangsiapa sakit semalaman, dia sabar dan rela kepada ALLAH, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. Jika engkau sakit, janganlah segera meminta sembuh.”
Telah berkata Adl Dlahak R.A.:
“Barangsiapa tidak diuji antara tiap-tiap 40 hari dengan suatu bala, kedukaan atau musibah, maka tidak ada kebaikan baginya di sisi ALLAH.”
Tersebut dalam kisah, ada salah seorang lelaki fasik dari Bani Israel. Orang sekampung tidak dapat lagi membendung kefasikannya. Mereka mengadu kepada ALLAH lalu ALLAH memberi wahyu kepada Nabi Musa AS bahawa di antara Bani Israel itu ada seorang pemuda fasik. Kemudian Musa mengusir pemuda itu dari kampung mereka. Sehingga mereka tidak terjilat api (neraka) oleh kefasikannya. Maka pergilah pemuda itu ke suatu kampung. Kemudian ALLAH SWT memerintahkan lagi agar Nabi Musa mengusirnya. Maka di usir pemuda itu sehingga pemuda itu pergi ke suatu tempat yang tidak terdapat manusia, tanaman, binatang liar, atau burung. Di situlah dia sakit dan tidak ada pula yang menolong. Dia jatuh ke tanah. Dia meletakkan kepalanya sambil berkata, “Kalaulah kepalaku ini dipangku ibuku, tentulah dia mengasihiku. Tentulah dia menangis meratapiku. Kalaulah ayahku di sini, pastilah dia akan menolong dan merawatku. Kalau sekiranya isteriku ada di sini, tentu akan menangisi kematianku. Jika anak-anakku ada, tentulah mereka akan tersedu-sedu mengiringkan jenazahku, lalu mereka akan berdoa: “Ya Tuhan, ampunilah ayahku ini. Yang lemah, fasik, derhaka, yang terusir dari kota ke kampung, dan dari kampung ke padang gersang. Yang keluar dari dunia ke akhirat tanpa harapan suatu apa pun.” Ya ALLAH, Engkau telah memisahkan aku dari orang tuaku, anakku dan isteriku. Namun janganlah Engkau pisahkan aku daripada rahmat-Mu. Sesungguhnya Engkau telah membakar hatiku sebab berpisah dengan mereka namun janganlah Engkau bakar hati ini dengan neraka-Mu kerana kemaksiatanku.”
Kemudian ALLAH mengutus bidadari menjelma menyerupai ibunya. Dan bidadari lain menjadi isterinya. Begitu ghilman (anak-anak Syurga) menjelma sebagai anak-anaknya. Serta mengutus malaikat seolah-olah menjadi bapanya. Mereka duduk di sisinya dan meratapinya. Lalu lelaki itu berkata, “Sesungguhnya ini ibu bapa, isteriku, anak-anakku telah hadir disisku.” Maka legalah hatinya sehingga pulang ke rahmatullah dengan suci dan terampuni dosanya. Kemudian ALLAH memberi wahyu kepada Nabi Musa, “Pergilah ke suatu padang di sebuah tempat di sana. Di situ telah mati seorang wali. Maka hadir dan uruslah dia!.” Ketika Musa datang ke tempat itu, baginda melihat pemuda yang diusirnya dari kota dan dari kampung dengan perintah ALLAH. Juga baginda lihat para bidadari mengerumuninya. Lalu baginda berkata, “Ya Tuhanku, bukankah ini pemuda yang aku usir dari kota dan dari sebuah kampung atas perintah-Mu?.” ALLAH berkata, “Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah merahmati dan mengampuninya sebab dia meratap ditempatnya. Dia tinggalkan kampung halamannya, kedua orang tuanya, bahkan anak dan isterinya. Maka Aku utus bidadari menjelma sebagai ibu dan isterinya, malaikat sebagai ayahnya. Mereka mengasihi kepedihan dan pengasingannya. Sesungguhnya jika orang meninggal di tempat jauh, maka ahli bumi dan ahli langit akan menangis mengasihaninya. Lalu bagaiman Aku tidak mengasihinya sedangkan Aku Maha Pengasih?.”
“ALLAH maha Halus (penyantun) kepada hamba-hamba-Nya...”
(Q.S. Asy Syura: 19)
Ibnu Aththok berkata:
“Akan terbukti keteguhan dan kebohongan seorang hamba sewaktu berlakunya bencana mahupun kemakmuran. Barangsiapa bersyukur di saat makmur, tetapi mengeluh bila ditimpa bencana, jelas dia orang yang dusta. Meskipun orang mempunyai segudang ilmu, tetapi mengeluh jika terkena angin bencana, sugguh tidak berguna ilmu dan amalannya.”
ALLAH telah berfirman dalam hadis Qudsi:
“Barangsiapa tidak rela dengan keputusan-Ku dan tidak syukur pula dengan pemberian-Ku, hendaklah dia cari Tuhan selain Aku!.”
Wahab bin Munabbah becerita: Ada seorang Nabi telah menyembah kepada ALLAH selama 50 tahun. Kemudian dia mendapat wahyu dari ALLAH mengatakan: “Aku mengampunimu.” Dia bertanya mengapa Engkau mengampuniku sedangkan aku tidak pernah berdosa?.” Kemudian ALLAH memrintahkan agar sebatang pohon menimpanya sehingga dia kesakitan dan tidak tidur semalam suntuk. Kemudian dia mengadukan perihalnya itu kepada ALLAH. Maka pohon itu berkata: “Sesungguhnya ALLAH berkata kepadamu bahawa ibadahmu selama 50 tahun itu belum cukup untuk menebus keluhan itu.”

0 comments:
Post a Comment
Gimme ur Slice...